Pencapaian luar biasa dan berita gembira buat Akademi Lembah Ilmu (AKLI) apabila seorang pelajarnya, Zahra Sofea Binti Zadil Hayat terpilih menyertai program lawatan sambil belajar ke Jepun.
Beliau akan mengikuti program JENESY’S ASEAN PROGRAM 2025 anjuran Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Luar Jepun pada 8 hingga 15 Januari 2025.
Seramai lapan pelajar Masteri Huffaz AKLI menghantar surat hasrat untuk menyertai program ini dengan dua pelajar disenarai pendek untuk temu duga.
Daripada ribuan permohonan, hanya 200 orang calon disenarai pendek dan 15 orang calon sahaja yang terpilih.
Peserta akan mengikuti beberapa program menarik yang diatur di Tokyo dan Kyoto seperti menghadiri kuliah, mengambil bahagian dalam acara silang budaya, bengkel dan perbincangan dengan masyarakat Islam yang tinggal di Jepun serta mengikuti program “Homestay” bersama keluarga Jepun.
Kos program ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Jepun termasuk tiket kapal terbang, insurans, cukai lapangan terbang, perjalanan dalam negeri, keretapi laju dan makan minum.
Program khusus buat pelajar dan guru aliran agama ini mempunyai tiga tujuan utama iaitu:
1. Membina asas untuk persahabatan dan kerjasama masa depan antara Jepun dan negara Asia-Pasifik.
2. Mempromosi persefahaman bersama di kalangan rakyat Jepun dan komuniti di rantau Asia-Pasifik.
3. Menggalakkan hubungan diplomasi, ekonomi, masyarakat, sejarah, budaya antara masyarakat Jepun dan Asia-Pasifik.