Seiring visinya untuk memperluaskan jaringan perkongsian pintar bersama pelbagai pihak di peringkat global, pelajar Masteri Huffaz Akademi Lembah Ilmu (AKLI) dijemput menghadiri RDC Summit di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam hari ini.
Persidangan anjuran Regional Development Community Berhad (RDC), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di rantau Asia Pasifik ini disertai pelbagai lapisan peserta dari dalam dan luar negara.
Program dua hari yang berakhir hari ini turut mendapat kerjasama IKRAM MUDA, IDEAL, International Islamic Federation of Student Organizations (IIFSO) dan Pusat Pengajian Satelit Universiti (PPSU) sebagai penganjur bersama.
Sesi hari ini bermula dengan dua ceramah iaitu “The Role of Youth of Today: Setting Sail for Gaza” oleh Dr Ashraf Awad dan “How to Start and Scale Effective Social Impact Work” oleh Ustaz Azlan Shah Nabees Khan.
Majlis kemudian diteruskan dengan perasmian dan ucaptama bertajuk “Future of Islam: Road Map for Youth” yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr Zulkifli Hasan.
Kemudiannya majlis bersambung dengan forum bertajuk “Youth in Making Impact: Realities and Prospects”.