Pengalaman baru yang cukup bermakna buat 50 pelajar Akademi Lembah Ilmu (AKLI) apabila terpilih menyertai program Jejak Institut Pengajian Tinggi bersama Yayasan Pendidikan Mara (YPM) untuk penerima dermasiswa tahun 2024 semalam.
Program julung kali ini turut dihadiri Pengetua AKLI, Cikgu Naimah Muhammad dan Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Dana YPM, Encik Zainal Rashid Zakaria.
Peserta program dibawa melawat dua Institut Pendidikan MARA (IPMa) iaitu German-Malaysian Institute (GMI) di Bangi dan Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) di Subang.
Program yang dimulai dengan Taklimat Hala Tuju Selepas SPM bersama IPMa mendapat respon positif pelajar apabila ramai pelajar bertanyakan soalan mengenai peluang untuk melanjutkan pengajian dan sesi interaksi berlangsung dalam suasana yang cukup menarik.
Lebih bermakna apabila alumni AKLI yang menduduki SPM tahun 2019, Muhaimin Yusof tampil menjadi ahli panel Forum Alumni IPMa bertajuk “Di Mana Peluang Lepasan Tahfiz?”.
Bekas pelajar ‘A’ Keusahawanan AKLI yang menamatkan pengajian dalam bidang keusahawanan di Kolej Poly-Tech MARA, Bangi itu turut berkongsi pengalaman belajar di IPMa dan cara menjaga hafalan al-Quran sepanjang pengajian.
Selain itu, pelajar juga dibawa melawat kampus GMI dan UniKL MIAT untuk melihat sendiri kemudahan disediakan dan sesi pembelajaran terkini dengan peralatan canggih sesuai dengan perkembangan teknologi dan kehendak pasaran semasa.