𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗔𝗦𝗔 𝗚𝗘𝗡𝗘𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗛𝗨𝗙𝗙𝗔𝗭 : 𝗚𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚𝗞𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗠𝗔𝗛𝗜𝗥𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗞𝗡𝗜𝗞𝗔𝗟 𝗗𝗔𝗡 𝗛𝗔𝗙𝗔𝗭𝗔𝗡 𝗔𝗟 𝗤𝗨𝗥𝗔𝗡
BANGI, 21 NOVEMBER 2024 – MARA komited memperluaskan peluang pendidikan untuk pelajar tahfiz dengan memperkenalkan laluan pengajian yang menggabungkan kemahiran teknikal, profesional, dan hafazan Al-Quran. Langkah ini bertujuan melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga berakhlak mulia, sejajar dengan nilai Islam.
Perkara ini dinyatakan oleh YBhg. Dr. Ir. Mahzan bin Teh, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) ketika Program Libat Urus MARA Bersama Pengusaha Tahfiz Negeri Selangor yang berlangsung hari ini di Auditorium Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi hari ini.
Majlis ini menghimpunkan 200 peserta terdiri daripada pentadbir Institusi Pendidikan Tahfiz dan pengendali Program Trek Pantas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memperkukuh hubungan antara institusi tahfiz dan MARA. Melalui program ini, peserta diberi penerangan menyeluruh mengenai peluang pendidikan di Institusi Pendidikan MARA (IPMA), syarat kemasukan, serta maklumat berkaitan pinjaman dan bantuan pendidikan. Ia juga bertujuan menjadikan institusi tahfiz sebagai platform utama untuk menyalurkan pelajar ke IPMA, sekali gus membuka laluan pendidikan lebih meluas kepada pelajar tahfiz.
Turut hadir Dr Ahmad Sabri bin Kassim, Pengarah MARA Negeri Selangor, En. Shahrizal bin Mohd Saderi, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah, Pn. Naimah binti Muhammad, Pengetua Akademi Lembah Ilmu (AKLI), En. Ku Mohd Akhir bin Ku Saad, Pengarah KPTM Bangi, Dr. Muhammad Hafiz bin Saleh, Naib Presiden PERMATA serta barisan Pengurusan dan Subsidiari MARA.