Search

Pengalaman

Beliau menjalankan kajian sarjana dalam bidang pendidikan tahfiz tradisional serta pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET). Beliau pernah membentangkan kertas kerja berkenaan pembelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) trek pantas bagi belajar tahfiz tradisional dalam Persidangan Kebangsaan Kurikulum Masa Depan anjuran Persatuan Kurikulum Malaysia pada tahun 2016. Beliau turut menjadi pembentang kertas kerja, The 6th International Conference on “Future Education: Shaping Intelligent And Mannered Generation Throughout Civilization”, Universiti Adi Buana, Surabaya pada tahun 2015.

Beliau mula berkecimpung dalam dunia pendidikan sejak tahun 2004 lagi sebagai jurulatih bagi Modul Kenegaraan, Pembinaan Karakter dan Khidmat Komuniti dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Selain itu, beliau pernah bertugas sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Ampang dan guru di Sekolah Seri Suria, Hulu Langat serta mengajar di beberapa buah sekolah swasta antaranya Sekolah Safinatun Najah, Shah Alam dan Al Ikhlas Cambridge Kids. Subjek utama beliau ialah Sejarah dan Perniagaan.

Di samping itu, beliau juga aktif dalam program kemasyarakatan dan telah berkhidmat sebagai guru Sejarah dan Bahasa Melayu bagi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dan DUN Chempaka. Pada tahun 2016 dan 2017 beliau telah dilantik sebagai Koordinator Pembangunan Modal Insan (KPMI) oleh kerajaan negeri Selangor. Pada tahun 2023 beliau merupakan penceramah subjek Sejarah Program Best Belajar Pelajar Asnaf Lembaga Zakat Selangor.

Sepanjang memegang jawatan KPMI beliau aktif menganjurkan program pendidikan di peringkat DUN. Antara program yang dijalankan ialah Seminar Teknik Menjawab Soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Bengkel Sentuhan Terakhir, Solat Hajat Perdana, Karnival PTRS dan Karnival Pendidikan.

Pada tahun 2012 beliau telah memulakan kelas tuisyen secara kecil-kecilan dengan nama Kelas Tuisyen Lembah Ilmu. Kelas tuisyen tersebut telah berkembang sehinggalah wujudnya Akademi Lembah Ilmu ini. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam dan membuat kajian berkenaan program trek pantas SPM untuk pelajar tahfiz tradisional di negeri Selangor.