LAWATAN KERJA AKLI KE GIATMARA HULU LANGAT
Akademi Lembah Ilmu (AKLI) bakal melakar sejarah baru apabila memasukkan kursus kemahiran dengan kerjasama GIATMARA untuk pelajar Masteri Huffaz mulai bulan depan.
Inisiatif baru ini tercetus hasil buah fikiran Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Sektor Latihan, Kemahiran dan Keusahawanan, Ts. Hj. Kamal Bin Ahmad @ Ishak ketika menghadiri Karnival Pendidikan Tahfiz 2025 anjuran AKLI bulan lalu.
Sebagai langkah awal bagi merealisasikan hasrat ini, Pengarah Urusan AKLI, Cikgu Naimah Muhammad mengadakan lawatan kerja dan perbincangan bersama Pengurus GIATMARA Hulu Langat, Encik Zamberi dan Puan Rubi pada hari Selasa (9 September 2025).
Hasil perbincangan bersama pihak pengurusan GIATMARA, pelajar AKLI akan mengikuti dua bidang kemahiran iaitu masakan dan jahitan.
Bidang masakan akan membabitkan tiga kursus untuk pastri. Manakala bidang jahitan pula akan membabitkan dua kursus iaitu pengubahsuaian pakaian dan jahitan kraftangan.
Program ini akan dibuat bersama pelajar Masteri Huffaz pada bulan Oktober dan November ini sebagai aktiviti tambahan pada hari minggu untuk memberi nilai tambah kepada pelajar.







