Alhamdulillah, sekali lagi AKLI menerima kunjungan seorang alumni ambilan tahun 2019, iaitu saudara Muhammad Hafiz bin Mansor dari Universiti Islam Selangor (UIS) yang berbesar hati menjalankan kajian ilmiahnya di Sekolah Menengah Islam Lembah Ilmu (SMILI), Hulu Langat.
Beliau sedang menjalankan kajian akademik bertajuk “Tahap Motivasi Pelajar Terhadap Subjek Pendidikan Islam: Satu Kajian Kuantitatif di Sekolah Menengah” yang melibatkan penyertaan pelajar SMILI sebagai responden kajian.
Seramai 40 orang pelajar SMILI telah terlibat dalam kajian ini, terdiri daripada 20 orang pelajar banin dan 20 orang pelajar banat. Para pelajar diminta berkumpul di Anjung Ilmu, SMILI pada jam 1.00 petang, sejurus selesai menduduki Peperiksaan Awal Tahun (PAT) bagi melancarkan proses pengisian soal selidik kajian tersebut.
Dalam kesempatan yang sama, Muhammad Hafiz turut berpeluang bertemu dengan Pengarah Urusan Akademi Lembah Ilmu (AKLI) serta bertukar pandangan mengenai perkembangan institusi dan kepentingan penyelidikan dalam bidang pendidikan Islam.
Ibarat sirih pulang ke ganggang, dahulu beliau merupakan seorang pelajar di AKLI, dan kini kembali menyumbang ilmu serta manfaat kepada institusi yang pernah menjadi tempat beliau menimba ilmu.





